Senyum Kambing
Assalamualaikum w.b.t.
Senyum kambing ialah kiasan kepada cara senyum yang jenaka. Tentu di antara kita tidak paling tidak sekali-sekala akan tersenyum kambing jika ada jenaka-jenaka yang di dengar menggeletek telinga. Kenapa kambing yang kita bikin jadi kiasan? Kenapa tidak ada senyum lembu, senyum gajah, senyum buaya (ini bahaya) mahupun senyum cipan? Tak perlu dipersoallah, nasihatku. Inilah warisan Tanah Melayu. Kita pelihara sahajalah. Jangan sampai nanti, suatu ketika kelak, anak-anak Melayu tersenyum kambing bila geli hati mendengar ayat senyum kambing tanpa mereka tahu maksudnya.
Sengaja aku pilih tajuk tulisan aku begini. Tetapi bukanlah nak mengupas isu bahasa dan kiasan. Aku cuma tersnyum kambing beberapa kali sendiri hari ini, bila terkenangkan perbuatan aku menafikan perihal lauk kambing golek. Selama ini aku memang tidak berapa gemar menikmati hidangan kambing. Ini disebabkan aku selalu berasa penng bilang kali cuba menghabiskan hidangan daging kambing. Hidung pula selau kurang selesa dengan aroma hidangan kambing. Jadi aku menafikan kepada ramai orang yang aku boleh menikmatinya. Tunangku juga telah kuberitahu hal itu. Sedangkan tunangku ini pula gemar sungguh dengan lauk ini. Aku pula lebih gemar ulam-ulam.
Sehinggalah tengah hari tadi, semasa di dalam majlis aqiqah, marhaban(baroa’n, jawanya) dan aqiqah Muhammad Areez Mirza, aku telah membedal 5 pinggan daging kambing. Tetapi perlu dinyatakan di sini, aku menikmati kambing biri-biri golek. Menurut kata tukang masak (Adi dan Aizad), kambing biri-biri itu baka dari Australia (apa khabar orang Australia?, kambing kamu orang aku makan!). Kiranya baka kambing biri-biri kurang kolestrol dan tidak seperti kambing kampung yang biasa. Bau hamisnya pun tidak sampai ke rongga hidungku. Tidak seperti kambing kampung yang biasa, kambing biri-biri tidak memberi kesan yang biasa kepada mereka yang pening bila pekena kambing. Jadi, aku pun cuba sepinggan. Cuba lagi untuk pinggan kedua dan sehingga pinggan ke-5.

Biasalah, hari-hari hujung minggu dan lebih-lebih lagi masih di dalam syawal lagi, ramai yang mengambil kesempatan membuat amal dan jariah. Aku ke majlis ini atas jemputan sebagai jurugambar untuk merakamkan majlis cukur jambul anak lelaki pertama pasangan Mohd Azlan dan Roazniza (tahniah!). Oleh kerana majlis marhaban sebagai memulakan acara seawal 10:30 pagi, aku mulakan dengan merakamkan persekitaran majlis yang dipenuhi dengan kaum Hawa. Berselang seli dengan aku berbalas SMS dengan tunangku. Ada hal sedikit, itu yang tak dapat nak elak berbalas SMS. Kemudiannya setelah beberapa minit, Ayu buat panggilan yang terpaksa aku bisikkan kepadanya, aku di tengah-tengah majlis. Tak ingat dengan jadualku lah tu. Lewat petang kami berbual panjang selepas maghrib. Walaupun berbual panjang, mood tak berapa sangat lah.
Selain dari aku dibebel sebab makan daging kambing (tak pening pun lah sayang, lepas nih kita boleh share kambing, dengan syarat kambing biri-biri), perkara yang menjadi isu ialah persiapan untuk majlis pernikahan kami ni nanti. Kalau aku senaraikan, lebih kurang begini;
- hantaran-hantaran
- dokumen dan kebenaran akad nikah
- jemputan
- kad jemputan
- duit (oh peningnya)
- jurugambar
Kami bersembang dalam keadaan yang kurang mesra. Tertekan. Lebih-lebih lagi bab duit. Peruntukan memang jimat tetapi memang terasalah sangat. Isu Malaysia pun itulah juga. Jadi sebagai rakyat Malaysia yang idak bekerja di Dubai, aku merasakanlah juga tekanannya.
Aku pun bukanlah datang dari keluarga yang mewah. Abah seorang pesara dan sekarang cuma bekerja kampung. Jika nak mengharapkan gaji aku sebagai kerani sahaja, memang tidak dapat menampung belanja-belanja yang ada. Kerja pengkeranian aku itu sendiri sudah aku menjadikan aku lali. Jujurnya aku dah tidak produktif dan efisyen seperti awal-awal 6 tahun dahulu. Oleh kerana aku masih bertahan di sini, SPM bukanlah satu batu loncatan untuk meningkat naik di tempat aku kini. Kemahiran komputer nampaknya sekadar membantu memudahkan kerja-kerja pejabat, rakan-rakan pejabat dan sistem pejabat. Tiap-tiap tahun sehingga kini, bonus tahunan tetap 2 bulan gaji. Aku bersyukur, siapa kata aku tidak bersyukur. Cuma, manusia perlu diberi penghargaan. Dari majikan sama ada bentuk penghargaan seperti ucapan “terima kasih, Saha.” sambil menepuk bahu, atau yang paling seronok, terima emel dari maybank2u kerana bonus 18 bulan di dalam akaun aku. Wah! Mewah dengan berangan. Kaya kita, Ayu! Ha ha ha ha.
Berangan….
Siapkan semua hal nak kahwinla, Saha…








