Ammar-Daniel warded. Day 7

Kenapa Ammar-Daniel kena tahan? Doktor pun belum dapat mengenal pasti apa punca Ammar-Daniel suhu badannya naik secara tiba-tiba pada sesuatu hari. Memang Ammar demam ketika itu. Merengek dan moody. Ada masa Ammar demam dan susah nak tidurkan Ammar.

Hari ini Ammar dijadualkan untuk buat Ultrasound. Cik Misi telah ingatkan untuk Ammar baca niat puasa seawal jam 4 pagi. Alamak! Jadi malam sebelum tidur, aku dan Mama Ammar berusaha memberi Ammar makan dan minum secukupnya sejak dari malam tadi. Waktu Mama AMmar kejutkan aku untuk bersahur, kami cuba alihkan setiap perhatian Ammar daripada dia menyusu. Nak elakkan ammar terlampau dahaga, aku suapkan sedikit air mineral.

Kami kemudiannya dipindahkan ke bilik pangkal. Anis dan babynya Asyraf pun dipindahkan ke bilik wad kedua. Jam 7:30 pagi, Nurse dah sibuk mengesan di mana Ammar. Dia minta kami bersedia. Mama Ammar kata, “Ayah, bawak Ammarlah yer. Mama tak dapat nak pegang Ammar kalau dia meronta sangat.” Aku kelek Ammar ke Unit Radiologi seawal 7:45 pagi. Ada jururawat yang mejadi pengiring kami. Kak Lin. Orang Kota Tinggi, anak tiga. Bersembang-sembang lah aku dengan Kak Lin sambil menunggu giliran. Ada sedikit masalah, apabila dokumen Ammar tidak ditemui. Kak Lin terpaksa berpatah balik ke Wad 17 untuk mencarinya. Apabila Borang telah diserahkan, semua Doktor dan Pakar telah dipangil bermesyuarat pula. Ammar terpaksa dipulangkan ke Wad dan perlu menunggu sehingga Pakar kembali bertugas. Ammar kena teruskan puasa! Kesian Ammar.Mama Ammar pujuk AMmar bila dia mula meragam kelaparan.

Tengah hari, baru Ammar boleh menjalani imbasan Ultrasound. Punyalah meronta. Memang kalau Mamanya, terlepas ajelah tangan memegang si budak Ammar ini. Bukan kerana sakit pun. Mungkin takut dan tidak selesa dengan persekitaran. Macam ada trauma bila dibaringkan. :)

Aku pun lihatlah juga imbasan. Nampaklah visual hati, jantung, bua pinggang, perut dan sakneke maknenek organ-organ Ammar. Bila dah sudah, Mama Ammar tanya, “Ok?”. Aku jawab, nampak lah semua organ dia, tapi tak tahulah ok atau x okay. :)

Ammar pun berbuka bila dah sudah jalani imbasan.

Petangnya Ammar happy2 dengan kakak-kakak nurse. Lihat blog salah seorangnya -> http://dotdotsekian.blogspot.com

Apalagi yang kami nak buat? Tunggu keputusan. Alahai.

Tags: , , , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded. Day 6

Catatan semalam, agak panjang… dan masih ada bahagian yang tidak ku masukkan.
Aku sambung sedikit di sini.

Sebelum keluarga Chan Chan keluar, seorang anak perempuan berbangsa Cina masuk ditemani ayahnya. Sewaktu ibu San Dee Lai hendak suapkan sepotong betik masak ke dalam mulut anaknya, ayah budak perempuan itu melarangnya. Katanya, betik mahupun timun tidak sesuai untuk tekak anak-anak bawah umur 4 tahun. Getahnya yang bahaya, boleh buat tekak melecet.

Selepas keluarga Chan Chan berlalu, katilnya kosong. Sebelum waktu berbuka seorang budak lelaki berbangsa Melayu masuk. Ditemani mamanya. Jadi sudah tiga katil penuh. Anaknya kena cirit-birit yang agak teruk. Berdarah. Kemudiannya, ada pesakit kanak-kanak perempuan berusia setahun ditemani ibunya dipindah masuk ke wad yang kami diami. Empat katil penuh. Full house. :) Rupa-rupanya apabila malam berlabuh, seorang budak cina perempuan ditemani nenek saudaranya dimasukkan kerana muntah-muntah. Bilik yang dikhaskan kepada empat katil kini menjadi lima, agak sesak.

Ammar meragam malam ini. Puas aku mengkelek kehulu-kehilir. Badannya panas. Agak lama juga aku mendukung Ammar. Tapi dia tidak tenteram juga. Merengek.

Aku bertanya khabar kepada mama budak lelaki yang nampak nya datang sehelai sepinggang. Maklumlah, waktu berbuka tadi tentunya, dia perlu berbuka juga. Lalu kuhulurkan kurma dan roti serta secawan air susu soya. Kak Peah namanya. Anaknya telah lebih setahun, dan namanya Mohd Nur Ammar. :)

Kami banyak berbual bertukar-tukar kisah. Ramah juga Kak Peah ini. (aku? hehehehe, ramah juga). Jiran-jiran yang lain tidak dapat ke berbual banyak, memandangkan malam semakin lewat di tambah pula Ammar yang tidak selesa. Lewat malam, Ammar pun tidur sehinggalah waktu bersahur.

Itu cerita semalam…

Ini hari, Ammar masih demam. Merengek-rengek. Doktor yang bertugas mengasingkan kami keluar dari wad yang telah kami bertapa untuk sekian kalinya. Oleh kerana wad ini sudah semakin sesak dengan 6 katil sudahnya. Lagi pula Ammar tidak lagi cirit-birit. Oleh kerana tiada lagi kekosongan di mana-mana bilik wad yang sesuai. Kami ditempatkan di ruangan TV. Ammar di kod dengan katil TV 2. :)

Kami adalah penghuni kedua kali ini. Penghuni dengan kod TV 1 ialah Ashraf. Bayi montel berusia 3 bulan yang demam tak sudah-sudah. Emaknya Anis berasal dari Kota Tinggi. Ayahnya seorang tekong bot laut dalam. Jadi hari ini nampaknya kami bermalam di tempat baru. Ammar masih demam.

Di sebelah petangnya, aku pergi ke Bank Rakyat untuk menguruskan pembayaran. Sempat juga bersembang dengan Hj Abdul Hamid, yang menjaga kaunter. Hj Abdul Hamid mencadangkan untuk membuat sup dari Ketam Bangkang. Hirup sup untuk legakan demam. Ketam Bangkang katanya ialah ketam yang berkulit hijau putih dengan sepit besar.

Oh ya! Kerana Ammar demam semula, Doktor telah mencadangkan untuk Amar buat Ultrsound pula esok pagi.
Gambar2 Ammar meragam memang tidak sempat aku rakam. :(

Selepas berbuka, Mama Ammar pergi ke klinik kerana tekaknya masih perit. Aku menjaga Ammar, yang tidak mahu ditinggalkan. Merengek2 kemudian bermain. Sementara dia ada mood nak bermain, aku suapkan meshed potato, sehingga lebih satu scoop juga. Ku bancuhkan susu soya untuk bayi 3 oz untuk Ammar. Dia minum juga kalau tiada mamanya. Kesudahannya bila Mama Ammar sampai semula, aku sudah tidak berselera untuk makan bekal berbuka. Kepala ku sudah pening. Aku pula menghuni sleeping bag sehingga ke sahur. Selepas sahur sebelum masuk waktu Subuh, aku tunaikan Isyak di ruangan itu.

18-Ogos-2010

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded. Day 5

Setiap hari, bunyi amaran mesin pengimbas tekanan darah dan degup jantung mengisi ruang wad kami. Mesin-mesin itu digunakan pesakit-pesakit cilik yang ditempatkan di wad sebelah. Mengilukan bunyinya. Ada bunyi batuk dari mulut mereka yang kecil itu sungguh menyeksakan bunyinya.

Malam tadi Mama Ammar telah dibawa ke klinik oleh Makngah Ammar selepas berbuka. Mama Ammar dah sakit-sakit badan kerana terperap lama di bawah corong penghawa dingin. Aku ada suarakan kepada Makngah Ammar tentang alangkah bagusnya kalau ada Sleeping Bag. Yang aku punya dah pula jadi harta Pakde Ammar. :) Nak ku ambil, tak sampai hati pula bila lihatkan dah sedap Pakde Ammar gunakannya.

Sementara menunggu Mama Ammar pulang dari klinik, akulah menjaga Ammar. Tidaklah meragam sangat kecuali apabila jururawat hendak memasukkan antibiotik ke dalam tiubnya. Ada pembekakan pula di tangan nya itu. Jadi awal malam tadi, Ammar perlu buat tiub baru di kaki kanannya pula. Kali ke-2 aku hantar Ammar ke Bilik Prosedur untuk itu. Ammar meronta-ronta dan menangis kuat. Takut dan sakit mungkin menjadi penyebabnya. Setelah selesai, aku tenteram kan Ammar dengan dua botol susu dengan setiapnya lebih 3 oz. Mama Ammar masih belum sampai ketika Ammar telah pun lena. Jururawat datang sekali lagi untuk masukkan antibiotik, tetapi nampaknya tiub kali ini pun tidak mesra kepada kaki Ammar. Aku telah hampir-hampir lena apabila jururawat datang untuk ambil AMmar tanpa Mama Ammar sedar. Mama Ammar di bawah pengaruh ubat.

Agak kelakar, apabila sewaktu bangun untuk bersahur, Mama Ammar terkedip-kedip kehairanan kerana tiub kemasukan telah berubah ke kaki kiri. Lalu ku terangkan kepadanya, jururawat telah “mecolek” Ammar malam tadi. :)

Bacaan suhu Ammar masih baik pagi ini. Ammar bagun sewaktu kami bersahur dengan tersengih-sengih. Mama Ammar masih belum sihat sepenuhnya. Malam tadi aku telah minta dia tidur ditempat aku sementara aku cuba menjaga Ammar. Tetapi Ammar memang pantang kalau mama nya ada. Merengek-rengek sehingga Mama Ammar terpaksa naik semula ke katil dan menyusukan Ammar. Mama Ammar dapat Sleepin Bag yang dibeli oleh Makngah rupanya. Aku balutkan Mama Ammar, dan nampaknya dia suka dengan kehangatan di bawah sleeping bag. Ammar pula, tak mahu diselimutkan.

Hari ini, jiran aku bertambah. Seorang anak perempuan berbangsa cina berumur 7 tahun dimasukkan kerana cirit birit dan muntah-muntah. Ayahnya nampak sibuk menjawab panggilan telefon. Ada kerja yang terpaksa ditangguhkan kerana mendahulakan kesihatan anaknya.

San Dee Lai, ialah nama anak perempuan Burma yang ditemani ibunya yang tidak cekap berbahasa. Mungkin susah juga nak berkomunikasi sehingga aku membantu Doktor Janna yang meminta ibunya menimbang setiap lampin yang telah terpakai. Kesudahannya, aku yang bawa ibu San Dee Lai menimbang lampin. Sehingakan sekumpulan jururawat di kaunter mengkagumi aku dan menggelar aku Ketua Kampung. :)

Aku cuba mengajar ibu San Dee Lai membaca penimbang, sehinggakan aku membuat kira-kira di atas kertas nota ku supaya dia faham. Aku terangkan, lampin terpakai ditimbang dan di ambil bacaannya. Kemudia bacaan itu ditolak dengan berat lampin bersih untuk mendapat berat kotoran. Apabila ditanya jururawat, nanti jawablah berapa berat kotornya. Sedikit menggelikan hati, pabila jururawat bertanya kepada ibu San Dee Lai, jawapannya, “180 – 20″. Hahahahaha. Diberitahunya jururawat kerja kira-kira yang aku tunjukkan kepadanya pula. Menariknya, bacaam seterusnya, yang aku bantu lagi, ibu San Dee Lai minta jururawat rujuk kepada aku. :) Aku kira mungkin dia tidak pandai kira-kira juga.

Tengah hari itu, anak Chan Chan (keluarga Burma) boleh pulang. :) Bil hospital mereka RM30.
Kami masih lagi tersadai.

….
Ada sambungan lagi cerita ini… esoklah. Wad kami penuh malam ini! Kami tak bersendirian, tetapi bersempitan pula.

17-Ogos-2010

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded. Day 4

Salam,

Kalau dikutkan memang sudah 4 malam kami di HSPF. Maksudnya sudah 4 sahur kami di dalam wad.

Kira-kira tgh malam tadi, Mdm Anne beritahu aku yang anak lelakinya akan dipindahkan awal pagi itu juga ke wad penjagaan rapi. Keadaan anaknya dikatakan perlu perhatian khusus kerana keputusan sinar-x menunjukkan keadaan yang membimbangkan. Mdm Anne ialah emak kepada budak lelaki dan perempuan yang aku ceritakan sebelum ini. Nampak sungguh risau Mdm Anne ketika sampaikan khabar itu kepada aku. Aku tak terkata apa. Semoga semuanya bertambah baik. Katanya, anaknya baru satu hari sahaja batuk yang terus teruk, begini pula keadaannya. Budak-budak sekolah lain pun batuk-batuk juga. Risau, menyelubungi hati.

Selepas bersahur, kami dikunjungi doktor yang bertugas. Di dalam wad kami tinggal 3 pesakit termasuk Ammar. Iz-irfan dapat berita untuk pulang ke rumah. Nor Azyan masih belum ada keputusan. Kami, walaupun Ammar tidak lagi demam pagi ini, doktor masih meneruskan antibiotik yang dijadualkan sehingga cukup hari kelima. Mama Ammar sudah keletihan kerana menahan sejuk di wad.

Aku mengambil peluang untuk bebaskan diri dari kesejukan di wad dengan mengambil tidur ku di dalam kereta selepas subuh. Semalam sebelum aku masuk tidur aku ambil ubat sinus yang membuatkan aku agak mengantuk. Kami bersahur buah kurma sahaja hari ini. Mama Ayu nampak geram dengan aku yang tidak bekalkan sahur. :)

Dalam 10:30 pagi aku naik semula dengn bawa bekal bubur Ammar yang dibeli dari Kafetria Hospital. RM1.00 untuk satu telap. Sampai di wad, rupa-rupanya kami sahaja yang masih ditahan. Nor Azyan pun sudah di bawa balik. Beberapa ketika kami sahaja di situ, datang lagi pesakit yang merupakan kanak-kanak berusia 10 bulan. Nampak keadaannya tenat. Lahirnya tidak cukup bulan, baru sahaja seminggu keluar dari hospital setelah sebulan dengan rawatan kerana bengkak limpa dan hati. Di tahan semula kerana cirit birit dan muntah pula. Datang bersama-sama ialah jiran mereka yang merupakan pengusaha Taska Pati di Bukit Pasir. Suaminya memperkenalkan diri sebagai Zaid. Itulah nama yang dapat kutangkap ketika aku memperkenalkan diri semasa ku hulurkan tangan. Aku sangka Zaid ialah ayahnya. Isterinya berbual-bual dengan ku menceritakan perihal anak kecil yang datang itu dan juga berkisarkan Taska Pastinya. Ammar pun mudah mesra denganmereka. Antara perkara yang jarang berlaku apabila Ammar dengan mudah bertukar tangan. Biasanya dia jinak-jinak merpati. Dari jauh, tersenyum-senyum, bila dihulurkan tangan, dia berkalih. :)

Rupa-rupanya sekejap sahaja adik itu berada di wad kami. Tidak beberapa ketika, doktor telah memindahkannya ke wad pengasingan untuk perhatian khusus. Tinggallah kami lagi. :|

Petangnya sebelum berbuka, ada suatu keluarga berbangsa Burma membawa anaknya yang muntah-muntah. Ada jiran tetapi ada kekangan komunikasi. Si ibu kurang cekap berbahasa Melayu. Anak perempuannya berusia 1 tahun 6 bulan dan muntah-muntah yangmerisaukan ibu bapa nya.

Bertuah mereka ini kerana boleh menikmati kemudahan disini. Aku cuba bayangkan kalau di negara luar, adakah rakyat Malaysia dilayan begitu. ~*wink ~*wink

16-Ogos-2010

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded. Day 3

Agak membuatkan hati aku tidak selesa kerana Ammar masuk ke HPSF kerana tidak sihat. Baru sahaja majlis tahlil untuk arwah maktok berlangsung pada awal Ramadhan ini. AMmar pula tak sudah-sudah demamnya aku kejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah kerana suhu badan yang menjangkau 38°c. Rupa-rupanya apabila dibuat pemeriksaan di unit pendaftaran ICU, suhu badan Ammar telah menjangkau lebih dari itu. Mujur Ammar tak terkena sawan. Degup jantungnya pun tidak normal.

Sepanjang perjalanan ke HPSF, Ammar berdiam diri. Sesekali aku mencuri-curi pandang pada Ammar yang diam di dalam dakapan Mama Ammar. Risau aku dibuatnya. Aku cuba bertenang dan memandu kereta dengan pantas tetapi berhati-hati dengan kenderaan-kenderaan lain yang pada ketika itu aku rasakan sungguh tidak berhemah. :)

Hari ketiga pagi, Ammar dapat bacaan badan yang baik, tetapi tidak pada petangnya. Agak demam semula. Mungkin inilah corak kesihatan Ammar yang aku cuba jelaskan kepada Doktor. Ammar masih aktif. Wad kami duduki telah penuh dengan pesakit-pesakit lain. Ada Iz-irfan, ada Nor Azyan dan seorang kanak-kanak cina yang belum sempat ku dapat namanya. Ketika aku membuat catatan ini, kakak kepada kanak-kanak cina itu mengintai-intai mungkin cuba menghilangkan rasa bosannya. Atau mungkin cuba ajak aku bermain agah-agah. Dia suka berjingki-jingkit tanpa beralas kaki kalau ke tandas. Perlakuan seperti kartun. :)

Menurut doktor, Ammar belum boleh keluar wad lagi. Demamnya yang datang petang ini, adalah faktor yang perlu dibincangkan mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya. Malahan, Ammar buang air kerap sangat hari ini. Semuanya cirit-birit. Aku dan Mama Ammar akan tersadai lagi disini nampaknya.

15-Ogos-2010

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded. Day 2

Berbekalkan mobile modem yang agak terhad liputan dan data (bandwidth), aku berebut waktu antara berjaga, tidur, menahan sejuk, mententeramkan ammar, itu ini begitu begini, bergilir-gilir bersama mama Ammar. Pengalaman bermalam di bilik wad yang sungguh sejuk, membuatkan mama Ammar pula hampir demam. Aku hanya berselimutkan kain pelikat masih mampu menahan sejuk. Untungnya Ammar ada mama yang tidur sekatil.

Ammar tak dapat tidur pagi tadi sangat, selepas tangannya dicucuk jarum untuk antibiotik. Kemudian ada chest xray. Walaupun tidur tidak beberapa tenteram, tetapi Ammar tidak meragama sangat cuma seseketika, dia menjerit manja. Pantang ada lawatan jururawat mahupun doktor, Ammar akan merengek tidak selesa.

Antara tugas aku ialah, menimbang lampin yang telah menakung kencing + tinja Ammar. Oleh kerana masih baru, ada ketika aku terlupa berapa jisimnya lampin-lampin Ammar. :)

Tengahari, aku pulang ke rumah untuk mengambil stok pakaian bersih untuk kami bertiga untuk 2 hari. Kelengkapan Ammar pun ada juga walaupun aku tertinggal satu dua barang yang mujur dapat dibawa datang olek Makngah Ammar.

Hari ini nampaknya, Ammar sihat walaupun ada cirit birit. Kami masih menyesuaikan diri di sini. Petangnya, aku pergi membeli Murtabak Singapore di Tanjung Agas untuk bekalan berbuka dan bersahur.

Oh! AKu telah memaklumkan kepada keluarga di Rawang, begitu juga beberapa sahabat yang aku fikir dapat memaklumkan kepada kenalan yang lain. Aku telah pun menerima beberapa SMS dan panggilan yang aku hargai keperihatinan kalian. Terima kasih.

14-Ogos-2010

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar-Daniel warded

Salam kepada semua,

Semenjak arwah maktok Ammar sakit, Ammar dah mula demam. Seminggu arwah maktok menjalani rawatan rapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, kami memang sibuk ulang-alik ke hospital dari rumah. Jarak pergi sahaja ialah lebih kurang 30km. Di rumah, memang tiada siapa yang tinggal. Jadi, kalau tiba giliran kami perhatikan maktok, kami bawa Ammar. Kebiasaannya aku akan jaga Ammar. Sementara mamanya akan ambil giliran menjaga maktok. Kalau Ammar dah lapar untuk susu badan, aku akan sumbat dengan susu botol. Bila dah habis sebotol, Ammar akan lapar lagi dalam 1 jam selepasnya. Jadi mama Ammar akan susukan di ruang/bilik yang ada tersedia di HSPF ini.

Ammar mula demam semula selepas seminggu kami ulang-alik ke hospital. Jadi kami ambil keputusan untuk lebih jarakkan dengan kawasan laluan pesakit. Kebiasaannya aku bawa terus ke ruang/bilik menyusu, atau tunggu sahaja di dalam kereta bersama Ammar. Manakala mama Ammar akan ambil giliran untuk jaga maktok. Rutinnya, kami akan bergerak balik kerumah semula sebelum lewat malam.

Ammar demam lagi seminggu demi seminggu. Ada masanya Ammar sihat dan cergas untuk 3 hari. Kemudian demam sehari, kemudian baik sehari-dua, kemudian demam sehari-dua. Kami sudah ke klinik pakar dan klinik kanak-kanak sebanyak 5 kali untuk kes Ammar. Pada 13-Ogos, Ammar demam yang mencecah 38°C. Mama Ammar tanya, “macam mana ni?”. Aku pun buat keputusan untuk terus ke hospital. Rancangan untuk naik ke Rawang, untuk berbuka dan bersahur bersama keluarga di Rawang tertangguh.


Sejam selepas Ammar dibawa ke hospital. Dimasukkan ke Wad Peditriatik.

Beberapa ujian darah telah dibuat begitu juga dengan x-ray dada. Dalam awal pagi doktor bertugas mencadangkan untuk masukkan antibiotik terus ke dalam darah, begitu juga dengan air.

Aku dan isteri dibenarkan untuk bersama-sama di wad sepanjang masa.

Tags: , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Al-Fatihah buat maktok ammar (Yang binti Ahmad)

Bersempenakan majlis akad nikah makngah ammar (Siti Salwati)

Pada 2 Julai 2010 bersamaan 19 Rejab 1431H iaitu pada hari Jumaat kira-kira jam 3:15 petang, emak mertua aku yang di kasihi telah pergi menghadap Ilahi.

اللَّهُمَّ جَافِ اْلاَرْضَ عَنْ جُنُوبِهِمْ وَ صَاعِدْ إِلَيْكَ أَرْوَاحَهُمْ وَ لَقِّهِمْ مِنْكَ رِضْوَانًا وَ أَسْكِنْ إِلَيْهِمْ مِنْ رَحْمَتِكَ مَا تَصِلُ بِهِ وَحْدَتَهُمْ وَ تُونِسُ بِهِ وَحْشَتَهُمْ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْ‏ءٍ قَدِيرٌ

Ya Allah, luaskan kuburan mereka, muliakan arwah mereka, sampaikan mereka pada redha-Mu, tenteramkan mereka dengan rahmat-Mu, rahmat yang menyambungkan kesendirian mereka, yang menghibur kesepian mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Amin

Tags: , , , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Testing 1-2-3

This is my son, Ammar-Daniel at his 2nd day seeing the world. Birth on 29th October 2009 and this picture were taken on 31st October.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Ammar and the tamed white bear

roaarrr!

The photos were taken on 23/05/2010 in the playing room at Dear Baby outlet in Batu Pahat.

Below are rest of the photos for the day.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS