Ammar-Daniel warded. Day 6
Catatan semalam, agak panjang… dan masih ada bahagian yang tidak ku masukkan.
Aku sambung sedikit di sini.
Sebelum keluarga Chan Chan keluar, seorang anak perempuan berbangsa Cina masuk ditemani ayahnya. Sewaktu ibu San Dee Lai hendak suapkan sepotong betik masak ke dalam mulut anaknya, ayah budak perempuan itu melarangnya. Katanya, betik mahupun timun tidak sesuai untuk tekak anak-anak bawah umur 4 tahun. Getahnya yang bahaya, boleh buat tekak melecet.
Selepas keluarga Chan Chan berlalu, katilnya kosong. Sebelum waktu berbuka seorang budak lelaki berbangsa Melayu masuk. Ditemani mamanya. Jadi sudah tiga katil penuh. Anaknya kena cirit-birit yang agak teruk. Berdarah. Kemudiannya, ada pesakit kanak-kanak perempuan berusia setahun ditemani ibunya dipindah masuk ke wad yang kami diami. Empat katil penuh. Full house.
Rupa-rupanya apabila malam berlabuh, seorang budak cina perempuan ditemani nenek saudaranya dimasukkan kerana muntah-muntah. Bilik yang dikhaskan kepada empat katil kini menjadi lima, agak sesak.
Ammar meragam malam ini. Puas aku mengkelek kehulu-kehilir. Badannya panas. Agak lama juga aku mendukung Ammar. Tapi dia tidak tenteram juga. Merengek.
Aku bertanya khabar kepada mama budak lelaki yang nampak nya datang sehelai sepinggang. Maklumlah, waktu berbuka tadi tentunya, dia perlu berbuka juga. Lalu kuhulurkan kurma dan roti serta secawan air susu soya. Kak Peah namanya. Anaknya telah lebih setahun, dan namanya Mohd Nur Ammar.
Kami banyak berbual bertukar-tukar kisah. Ramah juga Kak Peah ini. (aku? hehehehe, ramah juga). Jiran-jiran yang lain tidak dapat ke berbual banyak, memandangkan malam semakin lewat di tambah pula Ammar yang tidak selesa. Lewat malam, Ammar pun tidur sehinggalah waktu bersahur.
Itu cerita semalam…
Ini hari, Ammar masih demam. Merengek-rengek. Doktor yang bertugas mengasingkan kami keluar dari wad yang telah kami bertapa untuk sekian kalinya. Oleh kerana wad ini sudah semakin sesak dengan 6 katil sudahnya. Lagi pula Ammar tidak lagi cirit-birit. Oleh kerana tiada lagi kekosongan di mana-mana bilik wad yang sesuai. Kami ditempatkan di ruangan TV. Ammar di kod dengan katil TV 2.
Kami adalah penghuni kedua kali ini. Penghuni dengan kod TV 1 ialah Ashraf. Bayi montel berusia 3 bulan yang demam tak sudah-sudah. Emaknya Anis berasal dari Kota Tinggi. Ayahnya seorang tekong bot laut dalam. Jadi hari ini nampaknya kami bermalam di tempat baru. Ammar masih demam.
Di sebelah petangnya, aku pergi ke Bank Rakyat untuk menguruskan pembayaran. Sempat juga bersembang dengan Hj Abdul Hamid, yang menjaga kaunter. Hj Abdul Hamid mencadangkan untuk membuat sup dari Ketam Bangkang. Hirup sup untuk legakan demam. Ketam Bangkang katanya ialah ketam yang berkulit hijau putih dengan sepit besar.
Oh ya! Kerana Ammar demam semula, Doktor telah mencadangkan untuk Amar buat Ultrsound pula esok pagi.
Gambar2 Ammar meragam memang tidak sempat aku rakam.
Selepas berbuka, Mama Ammar pergi ke klinik kerana tekaknya masih perit. Aku menjaga Ammar, yang tidak mahu ditinggalkan. Merengek2 kemudian bermain. Sementara dia ada mood nak bermain, aku suapkan meshed potato, sehingga lebih satu scoop juga. Ku bancuhkan susu soya untuk bayi 3 oz untuk Ammar. Dia minum juga kalau tiada mamanya. Kesudahannya bila Mama Ammar sampai semula, aku sudah tidak berselera untuk makan bekal berbuka. Kepala ku sudah pening. Aku pula menghuni sleeping bag sehingga ke sahur. Selepas sahur sebelum masuk waktu Subuh, aku tunaikan Isyak di ruangan itu.
18-Ogos-2010







siannyer baby ammar kene warded sampai 6 hari. sebab demam ker? mama and papanyer pon take care jangan sampai jatuh saket.
sebenarnya masih menunggu keputusan ultrasound yang dibuat hari ini tadi. memang ammar ada demam yang agak panjang sejarahnya. mamanya pun dah makin sihat. papanya pulak rasa macam nak muntah pulak. alamak.
info tentang bayi demam di SIHAT SELALU – FAQ Tentang Bayi Demam
Terima kasih. Lebih lega rasanya hati bila membaca Info itu.
[...] Ammar-Daniel warded. Day 8Ammar-Daniel warded. Day 7Ammar-Daniel warded. Day 6 [...]