Al-fatihah buat semua
Ammar-Daniel masih belum sihat nampak gayanya.
…
Sewaktu Ammar-Daniel telah melihat dunia, arwah Opah Saerah telah kembali ke rahmatullah. Ketika itu Ammar-Daniel baru berusia 7 bulan. Aku tidak berpeluang memperkenalkan cicitnya kepada arwah. Ammar ialah cicit lelaki yang pertama. Cicit yang ketujuh. Tak lama selepas itu, selang sebulan, Maktok Ammar yang banyak menjaga Ammar telah pergi mengadap Ilahi.
Setahun sebelumnya, ketika Mama Ammar sedang mengandungkan anak bertuah ini, Ayahtok telah menghembuskan nafas terakhir. Dengan pemergian Ayah dan Emak mertuaku, Mama Ammar telah menjadi yatim piatu di hari raya tahun ini.
اللَّهُمَّ جَافِ اْلاَرْضَ عَنْ جُنُوبِهِمْ وَ صَاعِدْ إِلَيْكَ أَرْوَاحَهُمْ وَ لَقِّهِمْ مِنْكَ رِضْوَانًا وَ أَسْكِنْ إِلَيْهِمْ مِنْ رَحْمَتِكَ مَا تَصِلُ بِهِ وَحْدَتَهُمْ وَ تُونِسُ بِهِ وَحْشَتَهُمْ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Ya Allah, luaskan kuburan mereka, muliakan arwah mereka, sampaikan mereka pada redha-Mu, tenteramkan mereka dengan rahmat-Mu, rahmat yang menyambungkan kesendirian mereka, yang menghibur kesepian mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Amin.
Terkenang aku kepada arwah-arwah datuk dan nenek semua. Aku berpeluang bermesra dengan ke empat-empat mereka. Pada tahun 2004, Ogos 30 bersamaan 14 Rejab 1425H, Allahyarhamah Atona binti Hussein telah kemabli kerahmatullah. “Atona” ialah nama yang didaftarkan di dalam Kad Pengenalan. Semasa hayatnya, arwah pernah memberitahuku, namanya ialah Nur Aisyaton. Banyak sejarah yang pernah kudengar dari mulut arwah. Aku rajin bertanya ketika di kecil. Kebanyakan cucu-cucunya memanggil nenek ku ini dengan panggilan “Tok” singkatan kepada “Atuk”. Ada juga cucunya yang memanggil “Tok Na” gabungan “aTOK” dan “atoNA”.
Dari ceritanya juga, katanya bapanya, Hussein, ialah pedagang berketurunan Gujerat yang datang dari tanah India sebagai pedagang yang membawa hasil jualan ke Semenanjung Tanah Melayu. Teluk Intan merupakan pelabuhan laut mereka berdagang. Arwah ada juga menyebut, arwah bapanya bernikah dengan orang tempatan (ibu tok aton) dan menetap di Kuala Selinsing, sehinggalah pencerobohan Jepun yang memaksa mereka melarikan diri dan membuka pertempatan baru di Kampung Jalong, Sungai Siput.
Begitu banyak cerita kalau hendak diceritakan…
InsyaAllah di lain kesempatan.
*aku telah mendapat berita. Seorang sahabat semasa di UTM, Shahizul Eza Kiblee, telah kembali ke rahmatullah pada 30/08/2010 jam 11.30 malam dengan sebab serangan lelah. Al-Fatihah.







